Make Money With Twitter

05 January 2010

Rahsia menangis dan ketawa

SENYUMAN dan ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita dari tempat kerja. Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Bagaimanapun sesetengah orang menganggap tangisan itu sebagai satu kelemahan, hakikatnya ia ada fungsi penting dalam kehidupan kita. Apabila kita ketawa atau menangis, badan mengalami perubahan fizikal dan kimia. Ketawa dan menangis adalah dua elemen penting yang memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.

Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

i. Air mata basal (untuk melembapkan mata).

ii. Air mata refleks (dihasilkan apabila mata mengalami keradangan seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk).

iii. Air mata emosi (dihasilkan apabila badan bertindak balas terhadap perubahan emosi).

Setiap jenis air mata ini mempunyai komposisi hormon dan bahan kimia berbeza. Saintis mendapati air mata emosi mengandungi paras logam mangan dan hormon prolaktin lebih tinggi. Apabila kita menangis, dua bahan ini diambil daripada badan dan dikeluarkan melalui air mata. Ia membantu meredakan perasaan. Ini sebabnya kita berasa lebih tenang selepas menangis.

Air mata emosi hanya terhasil apabila berlaku perubahan emosi. Banyak faktor boleh mengakibatkan emosi seseorang berubah, seperti kesedihan kehilangan orang tersayang. Apabila emosi berubah, sistem saraf bertindak balas dengan merangsang saraf kranial (saraf dari otak) dan menghantar isyarat kepada kelenjar air mata lakrimal (kelenjar air mata paling besar).

Penyelidik percaya, kelenjar ini mengeluarkan jumlah air mata mengandungi bahan kimia dan hormon tertentu untuk menstabilkan semula perasaan seseorang apabila menghadapi tekanan emosi. Bagi wanita, tangisan dianggap perkara biasa tetapi bagi lelaki, ada yang menganggap ia sebagai satu tanda kelemahan. Sebenarnya, menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan.

Individu yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti kematian atau putus cinta, sebenarnya lebih menderita secara fizikal kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan. Jadi jika anda sedih, tiada salahnya untuk menangis kerana ia antara proses semula jadi untuk mententeramkan semula perasaan dan fikiran.

Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah. Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa. Diafragma, abdomen, saluran pernafasan, muka, kaki dan bahagian belakang badan secara tidak langsung ‘digerakkan’ serentak untuk bekerja. Pergerakan ini yang dianggap senaman untuk bahagian tengah badan sebenarnya turut membakar kalori.

Saintis mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah. Apabila kita ketawa, badan menghasilkan sel-T iaitu sel darah putih dan sejenis protein yang penting dalam sistem pertahanan badan. Ketawa juga didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tekanan. Ini sebabnya orang yang menghidap penyakit perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau kumpulan sokongan untuk menguatkan semangat kerana kesedihan hanya memburukkan keadaan penyakit mereka.

Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak. Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa. Semua ini dikatakan memberi manfaat kerana ia boleh menguatkan badan. Ketawa bukan saja boleh meredakan tekanan, tetapi menghilangkan rasa marah.

Antara manfaat ketawa yang lain ialah:

a. Merendahkan tekanan darah
b. Merangsang mood.
c. Meningkatkan daya ketahanan badan.
d. Memperbaiki fungsi otak
e. Melindungi jantung.
f. Merapatkan hubungan dengan orang lain.
g. Melegakan perasaan.
h. Membuatkan kita berasa selesa.

Malah, ketawa juga boleh meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, artritis, ulser dan mengelakkan risiko mendapat serangan jantung. Kajian mendapati seseorang itu berisiko diserang sakit jantung jika sentiasa dalam keadaan tertekan, resah, gelisah dan marah.

Bahkan, ada juga kajian mendapati ketawa boleh melancarkan sistem pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan. Namun paling penting ialah ketawa boleh mengekalkan kesihatan mental. Apabila kita berfikiran tenang dan melihat masalah daripada sudut positif, ia juga boleh dijadikan bahan ketawa. Ketawa pada diri sendiri juga boleh mengubah persepsi kita terhadap masalah dihadapi. Mungkin anda tidak sedar, ketawa sebenarnya membolehkan kita menangani masalah atau tekanan dengan lebih baik.

7 Kesilapan Lazim Dalam Mengurus Wang



JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

Gagal Merancang
Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya".

Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Berbelanja Melebihi Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.

Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.

Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad.

Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Lewat Menabung Untuk Hari Tua
Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan.

Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.

Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan.

Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

Terlampau Memikirkan Pasal Wang
Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

8 Cara Memberi Dan Menerima

1. Memberikan waktu luang anda sepenuhnya
- berikan sesuatu secara ikhlas dan tanpa merungut.

- Ambil waktu luang yang biasa anda gunakan untuk jalan-jalan ke kompleks membeli ? belah atau berbual kosong dengan teman lain. Berikan kepada pasangan dengan mengajaknya berjalan-jalan. Tapi jangan campurkan hal peribadi dengan pekerjaan. Jangan sampai anda ponteng kerja hanya untuk menemani si dia.

2. Menunjukkan perasaan anda
- Mahatma Gandhi pernah mengatakan, adakah seorang pengecut tidak mampu menunjukkan cintanya. Itu (cinta) hak istimewa bagi orang yang berani? Jika anda takut dianggap bodoh ketika menyatakan perasaan anda, cuba nyatakan dengan cara lain.

- Misalnya, dengan sedikit tambahan lawak jenaka atau dengan menulis surat. Jangan takut dianggap sentimental atau jiwang. Tak ada salahnya mengekspresikan apa yang kita rasakan.

3. Saling melengkapi
- Cubalah berkongsi pekerjaan yang sukar dengan pasangan anda. Dengan begitu, beban anda akan terasa berkurang dan itu juga cara praktikal menunjukkan setia kawan.

- Misalnya, anda mempunyai ibu yang cerewet dan selalu mengkritik, ada baiknya meminta suami atau isteri anda mencarikan hadiah ulang tahun untuknya. Pasangan anda tidak merasa bimbang dan dengan cepat boleh menentukan hadiah yang sesuai.

4. Memberikan orang lain lebih dari yang mereka harapkan
- Anda boleh menyembunyikan anak patung kesayangan anak anda di bawah bantalnya. Cubalah berbicara manis pada rakan sekerja yang biasanya menyebalkan, misalnya ? Selama ini kita banyak bercanggah pendapat, tapi saya mesti katakan bahawa kerja yang awak buat kali ini memang bagus.?

- Cubalah untuk tidak mengeluh selama 24 jam dan lihat sekeliling anda dengan gembira, sehingga tanpa sedar anda boleh kembali pada diri anda dalam keadaan tenang.

5. Membiarkan sahaja
- Kadang-kadang ada suami yang mempunyai masalah tetapi mengambil tindakan mendiamkan diri sahaja.

- Salmah cthnya, punya masalah yang sama dengan suaminya. ? Saya tahu ia punya masalah, mungkin di pejabat atau keluarganya, yang tak dapat diceritakan. Perkara terbaik yang boleh saya lakukan untuknya ialah dengan mengatakan saya tahu ia mempunyai masalah dan tak perlu berpura-pura seakan-akan semuanya baik-baik saja. Paling tidak, dia tahu saya tidak mengharapkan dia bertingkah normal. Kadang-kadang dengan cara demikian, suami saya boleh relaks dan berbual tanpa beban? begitulah cerita Salmah.

6. Jangan kedekut pujian
- Pujian, salah satu bentuk cinta yang paling sederhana. Memuji orang lain, rakan sekerja, teman atau keluarga boleh dilakukan dalam dua bentuk.

- Boleh terus memujinya atau ketika anda mendengar orang lain memuji seseorang, anda berusaha mengulangi pujian itu dengan menanyakan kembali pada yang memberi pujian. Siapa yang tidak merasa bangga mendapat pujian, walau sekecil mana sekali pun ?

7. Memberikan kejutan pada pasangan
- Melakukan sesuatu di luar kebiasaan, selain mengejutkan, ternyata boleh menyenangkan. Kalau anda sudah mengenali pasangan, tentu anda tahu apa yang disukainya.

- Misalnya, ketika Rini tidak boleh tidur, suaminya menyalakan lampu dan membacakan cerita sampai Rini tertidur. Bukan cerita dongeng kanak-kanak tapi novel pengarang kegemarannya.

8. Berkongsi ilmu
- Kalau anda tahu sesuatu, sebarkan pada teman-teman anda. Seperti yang dilakukan oleh Iskandar yang memang ulat buku dan suka melayari Internet. Hobinya mengumpulkan artikel menarik dan mengirimkannya pada orang-orang yang dirasakan perlu. Pada isterinya, Iskandar akan mengirimkan artikel romantik seperti puisi, bagaimana menyemai perasaan cinta antara mereka dan lain-lain.

Cari Sampai Dapat!

adsense

Cari n Find!

Pages

COMMENT TO ME..